Grab and Go: Kiosk Makanan Bantu Pelajar Isi Perut Pada Awal Pagi

Oleh: Avioletha Anne dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hasan


Tanjung Malim, 6 April 2026 - Kewujudan kiosk jualan makanan di hadapan blok 9, Fakulti Pembangunan Ekonomi (FPE), Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI,  sepanjang waktu kuliah memenuhi keperluan biologi pelajar dalam mendapatkan sarapan pagi yang sempurna sebelum memulakan waktu kuliah seawal jam 8.00 pagi. Keperluan jualan makanan ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pelajar yang tidak sempat bersarapan dalam mengejar tuntutan akademik pada awal pagi yang secara tidak langsung dapat memberi tahap tumpuan dan kecergasan minda di dalam dewan kuliah.

Keberadaan kiosk-kiosk makanan yang beroperasi secara strategik di sekitar kampus kini dilihat sebagai “penyelamat” yang menawarkan penyelesaian praktikal. Melalui konsep “Grab & Go”, kiosk-kiosk ini bukan sekadar pusat perniagaan kecil, malah berperanan sebagai pemudah cara yang memastikan warga universiti dapat mengisi perut dengan pantas tanpa perlu bimbang akan kelewatan ke kelas. Hal ini menunjukkan bagaimana efisiensi kiosk makanan di UPSI mampu menyantuni keperluan pelajar dan menjadi strategi terbaik dalam mendepani rutin pagi yang padat.

Selain itu, kepelbagaian menu yang ringkas disediakan untuk pelajar seperti nasi lemak bungkus, sandwich, kuih-muih, minuman dan sebagainya memudahkan pelajar untuk singgah dan mengisi perut sebelum memulakan kuliah pada waktu pagi. Makanan yang disediakan oleh pembekal makanan pantas untuk disantap di pagi hari kerana mudah dan senang untuk dimakan. Walaupun pantas, makanan ini membekalkan karbohidrat yang diperlukan untuk tenaga otak di waktu pagi. Harga makanan yang mampu milik dan murah juga menjadikan kiosk makanan ini sebagai tarikan utama pelajar. 

Menurut Aida (pelajar), salah seorang pemilik yang berdaftar di bawah salah satu kiosk makanan tersebut, mengatakan bahawa kiosk ini juga merupakan sebuah peluang yang baik untuk pelajar yang ingin meneroka bidang usahawan. Hal ini kerana pengelolaan kiosk tersebut mengajar cara untuk menjalankan usaha daripada bawah atau tahap permulaan. Di samping itu, makanan yang dibekalkan oleh pembekal amatlah berpatutan untuk pelajar dan sedap. Pihak edge upsi yang di bawah FPE, memberikan sewa yang murah untuk setiap bulan dan juga selalu memastikan setiap kebajikan kiosk terjaga. 

Menurut Fatihah pula, yang merupakan salah seorang pelajar mengatakan bahawa keberadaan kiosk ini di lokasi yang strategik iaitu berada di tengah-tengah kawasan bangunan-bangunan fakulti memudahkan pelajar untuk “grab and go” makanan dan berdekatan dengan dewan kuliah. Beliau juga berkata, dengan adanya kiosk makanan ini banyak memberi faedah terhadap pelajar yang bekerja separuh masa di kiosk tersebut untuk menjana pendapatan secara kecil-kecilan sambil belajar menjadi usahawan. Waktu operasi kiosk yang buka seawal jam 7 pagi menyenangkan para pelajar yang memerlukan sarapan sebelum ke kuliah kerana kebanyakan pada jam 7 pagi, kafe-kafe yang menjual makanan belum lagi beroperasi.