Oleh: Ellya Ezzatil Dan Dr Ahmad Sauffiyan
TANJUNG MALIM, 27 Mei – Bermula hanya sebagai tugasan bagi kursus UPU 3222 Budaya Keusahawanan pada semester lepas, kek batik ganache yang dihasilkan oleh Nur Rabiatul Adawiyah binti Mohd Herliyansyah kini berkembang menjadi jualan kecil-kecilan yang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar.
Menurut Nur Rabiatul, pada peringkat awal beliau hanya menghasilkan kek tersebut untuk memenuhi keperluan tugasan yang diberikan. Namun, selepas menerima maklum balas positif daripada rakan-rakan yang mencuba, beliau mula berani untuk membuka tempahan secara kecil-kecilan.
“Ramai kata sedap dan suruh saya jual, jadi saya cuba buka jualan sendiri,” katanya ketika ditemu bual.
Kek batik ganache tersebut dijual pada harga RM7 setiap bekas bersaiz 300 mililiter. Setiap sesi pembuatan hanya mampu menghasilkan sekitar 13 hingga 14 bekas sahaja kerana ia disediakan sendiri menggunakan bahan yang dibeli secara individu.
Sambutan pelanggan pula hanya diuruskan melalui kumpulan WhatsApp sahaja. Walaupun ringkas, tempahan sering habis dengan cepat, malah ada kalanya sold out pada hari yang sama ia dibuat, terutamanya apabila disediakan pada hari Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses pembuatan hanya dilakukan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jika jualan habis pada hari Jumaat, beliau akan menyediakan semula pada hujung minggu berikutnya bergantung kepada permintaan pelanggan.
Walaupun bermula daripada tugasan universiti, pengalaman ini telah membuka peluang kepada beliau untuk merasai sendiri dunia perniagaan kecil-kecilan serta meningkatkan kemahiran dalam menguruskan jualan dan menerima maklum balas pelanggan bagi menambah baik kualiti produk.