Oleh: Ellya Ezzatil, Dan Dr Ahmad Sauffiyan
TANJUNG MALIM, 29 Mei – Usaha menjaga alam sekitar dalam kalangan mahasiswa kini menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai pelajar universiti mula mengamalkan gaya hidup mesra alam, termasuk membawa botol air atau tumbler sendiri ketika membeli minuman di kafe kampus.
Perubahan ini dilihat sebagai sebahagian daripada kesedaran baharu generasi muda terhadap kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, selari dengan kempen “Save the Earth” yang semakin meluas diperkatakan di media sosial dan peringkat kampus.
Tinjauan di sekitar kawasan kafe Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati penggunaan cawan plastik semakin berkurangan apabila kebanyakan pelajar kini memilih untuk menggunakan bekas minuman sendiri. Amalan tersebut bukan sahaja lebih mesra alam, malah dianggap lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.
Menurut seorang pelajar, Nurin Syafiqah, perubahan tabiat ini bermula daripada kesedaran kecil yang semakin berkembang dalam kalangan rakan-rakan di kampus.
“Sekarang memang ramai dah tak guna cawan plastik macam dulu. Semua bawa tumbler sendiri sebab lebih mudah dan rasa macam lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Selain faktor kesedaran, sesetengah kafe juga dilihat turut menyokong usaha ini dengan menggalakkan pelanggan membawa bekas sendiri dan mengurangkan penggunaan plastik dalam penyediaan minuman.
Bagi pelajar lain, Amir Hakim, amalan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi turut menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian mahasiswa masa kini.
“Bila dah biasa bawa botol sendiri, rasa pelik kalau tak bawa. Lagipun lebih jimat dan tak banyak buang sampah plastik,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemerhatian mendapati trend ini turut dipengaruhi oleh pendedahan berterusan mengenai isu pencemaran plastik yang semakin membimbangkan di seluruh dunia. Media sosial memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej kesedaran tersebut kepada golongan muda.
Seiring dengan perubahan sikap ini, kempen menjaga alam sekitar dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar yang kini lebih terbuka untuk mengamalkan gaya hidup lestari dalam kehidupan seharian mereka.