Semasa perasmian malam penutup program kitakuo26
(Sumber: Instagram mediakuo upsi)
Oleh: Avioletha Anne Jackpira dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 23 Mei 2026 — Pelajar Kolej Ungku Omar (KUO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menghimpunkan ratusan warga kampus dalam kemeriahan mini program 'Borneo Native Day: Segulai Sejalai' yang berlangsung di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki pada 20 Mei 2026 yang lalu. Program berprestij ini dianjurkan bersempena dengan sambutan hari keempat serta Majlis Penutupan KITAKUO 2026: The Reunion Wave!
Penganjuran Borneo Native Day ini bertujuan untuk mengangkat, memelihara dan memperagakan kekayaan seni budaya etnik Sabah dan Sarawak kepada seluruh komuniti universiti. Bertemakan “Segulai Sejalai” yang membawa maksud seiring sejalan, program ini bukan sahaja menjadi platform hiburan kebudayaan, malah berfungsi sebagai ejen integrasi nasional dalam mengukuhkan semangat kekitaan sesama mahasiswa yang lahir daripada pelbagai latar belakang.
Kemuncak program malam tersebut diserikan lagi dengan nukilan perutusan khas daripada pengurusan tertinggi universiti yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen tinggi para mahasiswa dalam menjayakan program kebudayaan dan keusahawanan berskala besar ini. “Semoga semangat The Reunion Wave! terus mekar dalam mengeratkan ukhuwah antara alumni, mahasiswa dan komuniti kolej melalui hubungan yang berterusan. Diharapkan juga agar seluruh pelajar sentiasa cemerlang serta terus menjaga nama baik Kolej Ungku Omar dalam apa jua bidang yang diceburi,” kongsi Profesor Dr. Norkhalid bin Salimun, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI dalam perutusannya.
Kemeriahan malam tersebut turut diakui oleh salah seorang mahasiswa yang hadir, Arni Bella, 20, yang menyatakan bahawa program seperti ini memberikan impak yang mendalam terhadap pemahaman budaya luar memandangkan banyak mahasiwa/i yang berasal daripada borneo yang menimba ilmu di Semenanjung Malaysia. Di samping memberi pemahaman terhadap budaya borneo, program ini secara tidak langsung mempromosikan budaya borneo kepada orang yang diluar borneo.
Selain persembahan kebudayaan, malam penutupan KITAKUO 2026: The Reunion Wave! turut menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada para pemenang aktiviti yang telah berlangsung sepanjang empat hari pesta berkampung. Acara ini diakhiri dengan sorakan rasmi “Sekali KUO, Selamanya KUO” yang dilaungkan megah oleh para sekretariat dan mahasiswa yang hadir, menandakan penutupan tirai sebuah program interaktif yang berjaya mengeratkan silaturahim merentas generasi alumni dan pelajar.