Kalaicudar Pattarai Dedah Teknik Penghasilan Filem Pendek Kepada Mahasiswa



Gambar 1: Gambar sesi fotografi Program Kalaicudar Pattarai

 Oleh : Naveen A/L Suresh dan Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan


Tanjung Malim – Program Kalaicudar Pattarai telah berlangsung pada 16 Mei 2026 (Rabu). Program Pattarai telah diadakan di Kompleks Akademik Blok A, Aras Dua, Bilik Kuliah 1, bermula seawal 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program ini dianjurkan oleh pelajar AT62- Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Tamil dengan Kepujian. Bagi menjayakan program ini, dua pelakon terkenal Malaysia, iaitu Logavarnam dan Jay Krishnan telah dijemput sebagai penceramah jemputan untuk berkongsi pengalaman serta ilmu mereka dalam industri perfileman. 

Program ini dianjurkan bagi tujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai proses penghasilan filem pendek yang berkualiti.






Gambar 2: Ucapan Pengarah Program Kalaicudar Pattarai, Divina A/P Ganasegaran


Pengarah Program Kalaicudar Pattarai iaitu Divina A/P Ganasegaran bersyukur atas program ini berjalan lancar serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen yang tinggi.

Beliau mengatakan bahawa, program Kalaicudar Pattarai merupakan program pertama yang beliau menjadi pengarah program dan beliau bersyukur kerana objektif program tercapai iaitu Meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam bidang perfileman dan penghasilan kandungan kreatif.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa perkongsian ilmu daripada penceramah jemputan telah memberi manfaat yang besar kepada para peserta, khususnya dalam memahami proses penghasilan filem pendek secara lebih mendalam. Beliau berharap agar ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta untuk menghasilkan karya kreatif yang berkualiti pada masa akan datang.

 






Gambar 3: Perkongsian oleh Logavarnam mengenai proses penghasilan filem pendek

 Dalam sesi perkongsiannya, Logavarnam menerangkan langkah-langkah penting dalam menghasilkan filem pendek, termasuk pembangunan idea, penulisan skrip, pemilihan lokasi penggambaran dan teknik pengarahan. Beliau turut berkongsi pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatannya dalam industri seni tanah air.

Beliau juga menekankan kepentingan kreativiti, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi dalam menghasilkan sesebuah karya yang berkualiti. Para peserta juga berpeluang mengemukakan soalan serta mendapatkan pandangan secara langsung daripada kedua-dua penceramah.

Sepanjang program berlangsung, kedua-dua penceramah telah menerangkan langkah-langkah penting dalam menghasilkan sebuah filem pendek, bermula daripada pembangunan idea, penulisan skrip, pemilihan pelakon, teknik penggambaran sehinggalah proses suntingan. Mereka turut berkongsi pengalaman sebenar yang diperoleh sepanjang penglibatan mereka dalam industri seni dan hiburan.