Kenaikan Harga Pelekat Kenderaan UPSI: Cabaran Atau Penambahbaikan



Oleh : Nur Aina Nabila & DR Ahmad Saufiyyan bin Abu Hassan


Tanjung Malim, 6 April 2026 – Kenaikan harga pelekat kenderaan di Universiti 

Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menjadi tanda tanya kepada pelajar. Harga pelekat kenderaan motor kini meningkat sebanyak RM10 , menimbulkan persoalan sama ada perubahan ini sekadar cabaran atau membawa penambahbaikan kepada sistem keselamatan universiti. 


Bagi sesetengah pelajar, perbelanjaan harian  memainkan peranan penting dalam menguruskan kehidupan seharian. Kenaikan harga pelekat motor walaupun dalam nilai yang kecil tetap memberi kesan kepada mereka yang bergantung kepada perbelanjaan yang terhad. Situasi ini secara tidak langsung mendidik pelajar untuk menjadi lebih bijak dalam mengurus kewangan harian dan menyesuaikan diri dengan perubahan.


Dari perspektif pelajar, kenaikan harga ini dilihat sebagai usaha pihak universiti untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan .  Beberapa pelajar turut berkongsi pandangan mereka mengenai kenaikan harga pelekat  ini.


Akmal Haziq Sulaiman, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial semester 4, berkata:


“Secara jujurnya, kenaikan harga ini tidak begitu menjejaskan kewangan saya. Namun, saya percaya ia mungkin memberi kesan kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Walau bagaimanapun, penambahbaikan dalam sistem keselamatan UPSI memberikan banyak manfaat kepada pelajarnya, dengan adanya sistem palang untuk memasuki kawasan kampus, saya berasa lebih yakin kerana tidak perlu terlalu risau tentang risiko kehilangan atau kecurian motor.”


Sementara itu, Muhammad Azim Syafiq berkata:


“Alhamdulillah, bagi saya kenaikan harga pelekat ini membawa banyak kebaikan. Antaranya ialah penambahan kawasan parkir motor serta kemudahan yang lebih teratur. Selain itu, aspek keselamatan juga lebih terjamin. Pelekat yang digunakan kini lebih berkualiti dan jelas dilihat dari jauh, sekali gus memudahkan pemantauan. Serta saya tidak perlu risau tentang kemasukan orang luar ke dalam kawasan universiti kerana motor yang hanya berdaftar dengan pihak keselamatan upsi serta mempunyai pelekat sahaja yang dibenarkan masuk”.


Kenaikan harga pelekat kenderaan di UPSI mungkin dilihat sebagai cabaran pada peringkat awal, tetapi ia juga boleh menjadi satu langkah ke arah penambahbaikan yang memberi manfaat kepada semua pihak. Dengan sikap terbuka dan pemahaman yang baik, pelajar mampu menyesuaikan diri serta melihat perubahan ini sebagai sebahagian daripada proses pembangunan persekitaran kampus yang lebih selamat dan berkualiti.


Sebagai pelajar, perubahan ini juga mengingatkan kita bahawa setiap kos kecil yang dibayar hari ini boleh membawa manfaat jangka panjang. Dengan sistem keselamatan yang lebih baik dan kemudahan yang lebih teratur, pelajar bukan sahaja mendapat perlindungan untuk kenderaan mereka, tetapi juga pengalaman yang lebih selesa dan terurus di kampus. Justeru, kenaikan harga ini bukan sekadar cabaran, tetapi peluang untuk menghargai usaha universiti dalam menambah baik persekitaran kampus bagi semua warga UPSI.