Pengalaman Mahasiswa UPSI di Media Prima: Pendedahan Dunia Penyiaran


Mahasiswa UPSI bersama Mr. Fahmi Tajuddin,  Wartawan penyiaran, penyampai dan

 digital news editor Buletin TV3 



oleh: Nurul Insyirah Zubir dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026 – Peluang menjejakkan kaki ke salah satu syarikat media terbesar di Malaysia menjadi pengalaman bermakna buat enam mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila mereka berkesempatan mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad baru baru ini.

Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai amalan dan operasi industri media, selain memahami perkembangan kewartawanan dalam era digital yang semakin mencabar.

Sepanjang sesi tersebut, pelajar berpeluang mengadakan temu bual bersama Mr. Fahmi Tajuddin yang berkongsi pengalaman serta pandangannya mengenai perubahan landskap media daripada platform tradisional kepada media digital. Menurut beliau, perkembangan teknologi telah mengubah cara berita disampaikan kepada khalayak, di mana laporan kini perlu diterbitkan secara pantas dan dikemas kini secara berterusan mengikut perkembangan semasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengamal media masa kini perlu lebih kreatif dalam mencari pelbagai sudut penceritaan bagi memastikan sesuatu berita kekal relevan dan mampu menarik perhatian pembaca dalam persekitaran media yang kompetitif.

Selepas sesi temu bual, kami berkesempatan mengikuti lawatan sekitar Media Prima bagi melihat sendiri suasana kerja serta operasi di sebalik penerbitan kandungan media. Lawatan tersebut memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai proses penghasilan berita dan rancangan televisyen yang disiarkan kepada masyarakat setiap hari.

Mr. Fahmi Tajuddin

Nur Syazwana dan Mr. Fahmi Tajuddin

Salah seorang pelajar, Nur Syazwana, turut berpeluang merasai pengalaman membaca berita secara langsung bersama Mr. Fahmi Tajuddin. Pengalaman tersebut menjadi antara momen paling bermakna sepanjang lawatan kerana memberi pendedahan awal kepada suasana sebenar dunia penyiaran.

Selain itu, kami juga berpeluang berkenalan dengan Ms. Azwaliza Azman, pembaca berita paling senior serta penyunting berita utama TV3. Perkongsian beliau mengenai pengalaman dan perjalanan kerjaya dalam industri penyiaran memberikan inspirasi kepada pelajar yang bercita cita untuk menceburi bidang media pada masa hadapan.


Nurul Insyirah dan Rafia bersama pengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O TV9, Mr. Irfan Ali


Lawatan tersebut turut membuka peluang kepada kami untuk bertemu dan bergambar bersama Mr. Irfan Ali, pengacara utama rancangan Nasi Lemak Kopi O TV9. Pertemuan santai itu memberikan pengalaman berharga kepada pelajar untuk lebih mengenali personaliti yang sering muncul di kaca televisyen.

Sebelum mengakhiri lawatan, kami dibawa meninjau beberapa unit dan bahagian di bawah Media Prima bagi memahami fungsi serta peranan setiap jabatan dalam memastikan kelancaran operasi syarikat media tersebut. Pendedahan ini membantu pelajar memahami bagaimana kerjasama antara pelbagai unit menjadi tunjang kepada penghasilan kandungan yang berkualiti.

Secara keseluruhannya, lawatan pembelajaran akademik ke Media Prima Berhad ini bukan sahaja berjaya memenuhi objektif tugasan kursus, malah memberikan pengalaman berharga kepada pelajar untuk melihat sendiri realiti industri media. Pengalaman tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan minat dalam bidang komunikasi serta kewartawanan pada masa akan datang.