Townhall Parlimen Mahasiswa UPSI Siri 2026 Platform Dialog dan Kepimpinan Mahasiswa


Majlis Perwakilan Pelajar bersama Majlis Tertinggi dan Sekretariat

 Parlimen Mahasiswa Siri 2026


oleh: Nurul Insyirah Zubir


TANJUNG MALIM, 18 Mei 2026 - Program Townhall Parlimen Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 1 

Townhall Parlimen Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Siri 2026 merupakan satu inisiatif penting yang membuka ruang kepada mahasiswa serta badan pelajar untuk menyuarakan pandangan, cadangan dan isu isu berkepentingan dalam organisasi masing masing.

Program yang menghimpunkan hampir 200 orang mahasiswa ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara pelajar dan pihak pengurusan universiti  melalui platform dialog terbuka bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI. Pendekatan ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkomunikasi secara langsung dalam usaha menambah baik pengalaman serta ekosistem kampus.

Townhall ini menjadi medium kepada para perwakilan Parlimen Mahasiswa UPSI untuk membincangkan pelbagai isu termasuk akademik, kebajikan mahasiswa serta kehidupan kampus. Melalui sesi ini, mahasiswa dapat melontarkan pandangan dengan lebih terbuka, sekali gus memastikan suara mereka lebih didengari dan dihargai.

Selain itu, program ini turut berperanan sebagai persediaan kepada perwakilan Parlimen Mahasiswa dalam memperkukuhkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri serta keupayaan menyampaikan hujah dengan lebih tersusun. Penglibatan aktif dalam sesi perbincangan ini membantu mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan seperti pemikiran kritis, pengurusan isu dan penyelesaian masalah.

Menurut Pengarah Program, saudari Nur Adila Munshi, Parlimen Mahasiswa UPSI bukan sekadar platform untuk menyuarakan isu, tetapi juga medan membentuk bakat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa penglibatan dalam sesi ini memberi pendedahan penting dalam melahirkan mahasiswa yang lebih berkeyakinan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Nurul Insyirah Sekretariat Promosi dan Penajaan menemubual Nazrill Affique Nasaruddin NYDP 2 MAJOR UPSI


Menurut salah seorang peserta, Nazrill Affique Nasaruddin daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi selaku Naib Yang Dipertua 2 Majlis Anak Johor (MAJOR), menyatakan bahawa program Townhall seperti ini memberikan impak yang sangat positif kepada mahasiswa. Menurut beliau, setiap persatuan yang terdapat di UPSI berpeluang untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing masing secara terbuka.

Beliau turut berharap agar segala cadangan dan usul yang dikemukakan pada sesi Townhall pada hari ini dapat diberi perhatian serta dilaksanakan pada masa akan datang, khususnya melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kepentingan mahasiswa Anak Johor di UPSI.

Maeyza Zahara Mohd Fahmi Sekretariat Promosi dan Penajaan bersama Ahmad Muhammad Jasmi YDP Persatuan Pengajian Malaysia (PPMAS) UPSI


Selain itu, menurut salah seorang peserta yang turut ditemu bual oleh Sekretariat Promosi dan Penajaan, iaitu Ahmad Muhammad bin Jasmi, yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Pengajian Malaysia, program ini sangat baik dan mendapat sambutan positif daripada wakil badan pelajar serta pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Menurut beliau, sesi Townhall ini berfungsi sebagai platform untuk membincangkan isu isu semasa yang berlaku di universiti serta mencari solusi yang sesuai bagi menangani permasalahan tersebut.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Townhall Parlimen Mahasiswa UPSI Siri 2026 ini memberi impak positif terhadap usaha memperkukuhkan budaya keterbukaan dan keterlibatan mahasiswa di UPSI. Inisiatif ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.