Oleh : Nur Aina Nabila & DR Ahmad Saufiyyan bin Abu Hassan
WASHINGTON/CAIRO, 20 April 2026 – Gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kini berada di ambang keruntuhan apabila ketegangan kembali memuncak susulan tindakan Washington merampas sebuah kapal kargo Iran, sekali gus mencetuskan ancaman tindak balas segera daripada Tehran.
Situasi itu menjejaskan harapan ke arah keamanan berkekalan di Timur Tengah, lebih-lebih lagi selepas Iran mengambil keputusan untuk tidak menyertai pusingan baharu rundingan damai yang sepatutnya berlangsung sebelum tempoh gencatan senjata tamat esok. Sejak awal konflik, AS terus memperketat sekatan ke atas pelabuhan Iran, manakala Tehran pula bertindak balas dengan mengenakan semula sekatan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz berkaitan laluan kritikal yang mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak dunia.
Tentera AS pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya melepaskan tembakan ke arah kapal kargo berbendera Iran yang sedang menuju ke pelabuhan Bandar Abbas sebelum berjaya menguasai kapal tersebut sepenuhnya. “Kami kini mempunyai kawalan penuh ke atas kapal mereka dan sedang memeriksa kandungannya!” tulis Presiden Donald Trump di media sosial.
Pihak tentera Iran pula menyatakan bahawa kapal tersebut sedang dalam perjalanan dari China. “Kami memberi amaran bahawa angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan segera bertindak balas terhadap tindakan lanun bersenjata oleh tentera AS ini,” kata seorang jurucakap tentera, menurut laporan media kerajaan.
Amerika Syarikat terus mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran, manakala Iran pula telah menarik balik sebelum mengenakan semula sekatannya terhadap trafik maritim yang melalui Selat Hormuz, iaitu laluan yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Dalam reaksi segera, Iran mengecam tindakan tersebut sebagai “lanun bersenjata” dan memberi amaran bahawa angkatan tenteranya akan melancarkan tindak balas dalam masa terdekat. Ketegangan yang semakin memuncak itu turut menggegarkan pasaran global apabila harga minyak melonjak mendadak, manakala pasaran saham dunia berdepan ketidaktentuan berikutan kebimbangan gangguan berterusan di rantau Teluk.
Sumber : Reuters.com