Oleh: CHAN XUE YEE & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM,15 Mei – Terletak hanya beberapa minit berjalan kaki dari pintu masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan berhampiran perhentian bas utama pelajar, Fotokopi Tanjung Malim semakin menjadi lokasi pilihan utama mahasiswa untuk berehat, menunggu pengangkutan, serta menyiapkan tugasan harian.
Dengan suasana yang selesa dan berhawa dingin, kafe tersebut sering dipenuhi pelajar terutama pada waktu tengah hari dan selepas tamat kelas. Bagi kebanyakan mahasiswa, nama uniknya mungkin menimbulkan kekeliruan pada awalnya, namun hakikatnya, premis ini bukan sekadar tempat membeli minuman atau perkhidmatan salinan, malah telah berubah menjadi ruang kedua yang penting bagi kehidupan kampus – tempat untuk berehat seketika daripada kesibukan kuliah dan aktiviti akademik.
Seorang pekerja kafe, Arul, berkata kebanyakan pelanggan yang hadir terdiri daripada pelajar UPSI yang singgah sama ada sementara menunggu pulang dengan bas atau terus ke kafe sejurus selepas menghadiri kuliah. “Ramai pelajar datang ke sini untuk membeli minuman sambil menunggu bas. Daripada berdiri di luar di bawah panas terik, mereka lebih selesa duduk di sini. Ada juga yang duduk berehat, berbincang tugasan dan meluangkan masa bersama rakan-rakan,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, suasana kafe yang tenang, sejuk dan selesa menjadi antara faktor utama pelajar memilih untuk meluangkan masa di situ berbanding tempat lain di sekitar kampus.
“Biasanya waktu petang memang lebih ramai pelajar datang. Ada yang buat tugasan secara berkumpulan, membentangkan buku dan komputer riba di atas meja, dan ada juga yang datang sendiri untuk belajar atau sekadar berehat sendirian,” tambahnya.
Arul turut menjelaskan bahawa dari pemerhatiannya, pelajar sering menjadikan kafe tersebut sebagai tempat untuk melepaskan tekanan selepas kelas atau ketika musim tugasan dan peperiksaan yang semakin dekat.“Banyak pelajar beritahu saya, mereka datang ke sini untuk ‘menenangkan fikiran’. Bila penat belajar atau stres dengan tugasan, tempat ini jadi tempat selamat untuk mereka rehat sekejap. Bagi saya sendiri, saya berasa sangat berbesar hati dan bangga dapat bekerja di sini. Setiap hari saya tengok anak-anak muda ini bersungguh-sungguh berusaha demi masa depan mereka, dan itu membuatkan saya rasa gembira dapat menjadi sebahagian kecil daripada perjalanan mereka menuju kejayaan,” luah Arul dengan penuh ikhlas.
Bagi seorang pelajar tahun akhir UPSI, Aiman, lokasi strategik dan suasana nyaman menjadi sebab utama beliau dan rakan-rakannya sering mengunjungi Fotokopi hampir setiap hari.“Dalam cuaca yang panas dan lembap di Tanjung Malim ini, tempat yang ada penghawa dingin dan selesa memang sangat sesuai untuk kami pelajar. Kami boleh duduk lama di sini sama ada untuk berehat atau siapkan kerja tanpa rasa kepanasan,” katanya.
Menurut Aiman, beliau sering menggunakan masa di kafe tersebut untuk pelbagai tujuan – berbincang tugasan, mengulang kaji pelajaran atau sekadar berehat selepas menghadiri kuliah yang panjang.“Kadang-kadang kami datang untuk buat tugasan bersama-sama sebab suasananya cukup kondusif. Ada juga masa kami datang hanya untuk tenangkan fikiran selepas penat dengan kelas dan beban akademik. Di sini kami boleh bersantai, bergelak ketawa dan lupakan sekejap tekanan belajar,” ujarnya.
Beliau berpendapat bahawa ruang seperti Fotokopi memberi kemudahan besar kepada pelajar untuk mendapatkan suasana yang lebih santai di luar kawasan kuliah rasmi, tanpa perlu pergi jauh atau membelanjakan kos pengangkutan tambahan memandangkan lokasinya yang sangat dekat dengan kampus.
Fenomena pelajar memilih kafe sebagai tempat belajar dan berkumpul bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan mahasiswa masa kini. Selain menyediakan kemudahan asas seperti tempat duduk yang selesa dan akses internet, ruang seperti ini juga membantu pelajar mendapatkan persekitaran yang lebih fleksibel dan santai untuk menguruskan rutin harian mereka.
Pakar sosiologi pendidikan berpendapat, keperluan kepada ruang seperti ini semakin meningkat. Bagi sesetengah pelajar, suasana yang lebih santai di luar bilik kuliah mampu membantu meningkatkan fokus dan mengurangkan tekanan akademik, terutama ketika minggu penghantaran tugasan dan musim peperiksaan. Gabungan antara fungsi tempat menunggu, pusat pembelajaran dan ruang sosial menjadikan premis sebegini sangat istimewa.
Walaupun sekadar sebuah kafe kecil berhampiran pintu masuk kampus, Fotokopi Tanjung Malim kini dilihat sebagai sebahagian daripada identiti dan kehidupan harian pelajar UPSI. Daripada sekadar tempat menunggu bas, ia berkembang menjadi ruang untuk belajar, berbincang dan berehat. Kafe tersebut terus berdiri teguh sebagai lokasi persinggahan pilihan, membuktikan bahawa perniagaan kecil yang memahami keperluan pelanggan boleh menjadi ‘permata’ yang sangat berharga dalam komuniti kampus.
