“Syurga Akademik” Malam Hari: Mengapa Bilik 24 Jam Menjadi Pilihan Utama Mahasiswa UPSI

TANJONG MALIM - Kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti tidak pernah lari daripada lambakan tugasan, projek video, dan persiapan peperiksaan. Bagi memenuhi keperluan akademik ini, persekitaran belajar yang kondusif adalah satu kemestian. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu fenomena yang jelas kelihatan adalah kecenderungan para pelajar untuk memilih Bilik 24 Jam sebagai ruang mengulang kaji utama berbanding bilik kolej kediaman masing-masing atau perpustakaan universiti.

Melalui satu tinjauan analitis, dua orang mahasiswa UPSI daripada latar belakang akademik yang berbeza telah berkongsi pandangan jujur mereka mengenai faktor sebenar yang mendorong budaya belajar di Bilik 24 Jam ini.

Bagi Ahmad Adham bin Hishamsul Khairie, seorang pelajar program Pendidikan Jasmani, cabaran utama belajar di bilik kolej adalah kesukaran untuk membina fokus yang konsisten. Beliau mendedahkan bahawa suasana di bilik kolej kediaman kadangkala terlalu bising disebabkan oleh aktiviti rakan sebilik. 

"Saya datang ke sini kerana tiada fokus di dalam bilik. Kerana bising. Mereka sibuk bermain permainan," seloroh Ahmad secara jujur. 

Bagi Ahmad, Bilik 24 Jam menawarkan keselesaan yang jauh lebih baik dari segi kawalan bunyi. Di ruang inilah beliau sering menghabiskan masa untuk menyiapkan tugasan, menyunting projek video, dan kadangkala melakukan aktiviti kreatif.

Apabila diminta membandingkan ruang ini dengan perpustakaan universiti, Ahmad tanpa ragu-ragu memilih Bilik 24 Jam atas dua faktor utama iaitu masa dan kemudahan makanan. "Daripada saya, kelebihan 24 jam daripada library adalah masa. Utama dia, masa. Yang kedua, kelebihan ini, di mana kita nampak ada makanan yang disediakan," tambah beliau. 

Di sisi yang lain, Nur Iffy Batrisyia binti Mohd Idris (Iffy) pula melihat isu belajar di kolej kediaman dari sudut kekangan struktur fizikal dan perbezaan rutin harian bersama rakan sebilik. Bagi pelajar bidang Reka Bentuk Mainan Digital ini, suasana bilik kolej yang sempit kadangkala agak menyukarkan pergerakan akademik. 

"Sebenarnya saya rasa belajar di kolej itu payahlah. Sebab yang pertama dengan housemate-housemate yang suka tidur kan. Tak boleh nak buka lampu nak belajar waktu malam," jelas Iffy mengenai situasinya di kolej. 

Iffy memilih Bilik 24 Jam kerana ruang tersebut berhawa dingin, sejuk, luas, dan selesa untuk mengelakkan dirinya daripada terus terikut-ikut dengan keadaan bilik kolej yang condong untuk tidur. Kebiasaannya, Iffy akan menggunakan ruang ini sepenuhnya untuk menyiapkan lambakan tugasan universiti selain menjadikannya tempat menunggu rakan kuliah. 

Mengenai sebab beliau lebih mengutamakan Bilik 24 Jam berbanding perpustakaan, Iffy memberikan ulasan yang sangat praktikal mengenai waktu operasi. Perpustakaan UPSI mempunyai had masa tertentu iaitu dibuka dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 atau 6.00 petang sahaja, yang mana mengehadkan waktu belajar malam bagi pelajar. 

"Bilik 24 jam ni buka dari pagi sampai malam. So malam tak boleh nak belajar di perpustakaan. Seterusnya, malam inilah paling pelajar suka belajar kan. So malam tu kadang-kadang boleh stay up dekat sini dengan kawan-kawan," kata Iffy. Di samping itu, beliau sempat berseloroh bahawa satu lagi sebab utama beliau menyukai Bilik 24 Jam adalah kerana prosesnya yang ringkas tanpa perlu bersusah-payah mengimbas kad matrik seperti di perpustakaan.