Oleh: CHAN XUE YEE & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM, 30 April – Penyediaan kemudahan mesin air minuman di kawasan kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat maklum balas sangat positif daripada pelajar. Kemudahan ini membolehkan penghuni asrama mendapatkan air minuman dengan mudah dan cepat, sekaligus membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Inisiatif ini dilihat memberi manfaat besar kepada komuniti kampus. Selain akses yang dekat dan mudah, kehadiran mesin air ini bermakna pelajar tidak perlu lagi bergerak jauh atau keluar dari kawasan asrama hanya untuk membeli air, terutamanya pada waktu malam. Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan risiko keselamatan pelajar daripada berjalan keluar ke tempat yang kurang selesa atau jauh.
Bagi Xin Wei, salah seorang penghuni di Blok 1, Kolej Kediaman Khar, kemudahan ini sangat praktikal dan sangat meringankan beban mereka. Beliau melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan langkah pihak universiti menyediakan kemudahan asas sebegini.“Saya rasa sangat bersyukur sebab ada mesin air percuma ni. Kami tak perlu beli air setiap hari, jadi duit belanja pun boleh dijimatkan banyak,” katanya ketika ditemui.
Di samping kemudahan air percuma yang disediakan, terdapat juga mesin air berbayar yang disediakan di lokasi strategik sekitar asrama. Kadar bayarannya sangat rendah iaitu serendah 10 sen sahaja untuk setiap penggunaan, menjadikannya pilihan yang sangat berpatutan dan berbaloi bagi pelajar.
Menurut Xin Wei, gabungan kedua-dua kemudahan ini sangat memudahkan rutin harian mereka. Pelajar bebas memilih sama ada untuk menggunakan perkhidmatan percuma atau berbayar mengikut keselesaan dan keperluan masing-masing.“Mesin-mesin ni sangat memudahkan kami. Tak perlu jalan jauh cari air, dan kalau guna yang berbayar pun harganya sangat murah, tak membebankan langsung,” tambahnya.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kemudahan asas yang disediakan bukan sahaja bertujuan memberi keselesaan, malah membantu pelajar menguruskan kewangan mereka dengan lebih bijak dan berhemah sepanjang tempoh pengajian.
Pengguna berharap kemudahan seperti ini akan dikekalkan dan terus diselenggara dengan baik dari semasa ke semasa. Langkah kecil seperti penyediaan mesin air ini dilihat sebagai satu bentuk keprihatinan yang nyata terhadap kebajikan dan keperluan asas pelajar yang menetap di kampus.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini mendapat sokongan penuh pelajar kerana ia benar-benar bersesuaian dengan keperluan harian mereka, menjadikan kehidupan di asrama lebih selesa, selamat dan teratur.