Meniti Impian ke Menara Gading Melalui Karnival Jom Masuk U 2026

 


Oleh Muhammad Ammar Haziq 


TANJUNG MALIM – Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipenuhi pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat sempena penganjuran Karnival Jom Masuk U (JMU) 2026 Zon Tengah II yang berlangsung pada 25 hingga 26 April lalu.

Karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi platform penting bagi pelajar mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Pelbagai ruai pameran dibuka sepanjang program berlangsung, menawarkan maklumat mengenai syarat kemasukan, program pengajian, biasiswa serta prospek kerjaya.

Bagi ramai pelajar yang bakal melanjutkan pengajian, karnival seperti ini memberikan peluang untuk mendapatkan penjelasan secara terus daripada wakil universiti. Pendekatan tersebut membantu mereka memahami pilihan yang ada sebelum membuat keputusan penting berkaitan masa depan akademik masing-masing.

Menurut Nurul Aina Sofea, 18, seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kehadirannya ke karnival tersebut banyak membantu dalam menentukan bidang pengajian yang ingin dipilih.

"Sebelum datang ke sini, saya masih keliru untuk memilih kursus yang sesuai. Selepas berbincang dengan wakil universiti, saya lebih jelas tentang syarat kemasukan dan peluang kerjaya yang ditawarkan. Program seperti ini sangat membantu pelajar seperti saya," katanya.

Selain pelajar, ibu bapa turut mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai institusi pengajian tinggi yang menjadi pilihan anak-anak mereka. Kehadiran mereka menunjukkan betapa pentingnya sokongan keluarga dalam membantu pelajar merancang masa depan pendidikan.

Karnival Jom Masuk U bukan sahaja menyediakan maklumat mengenai program akademik, malah turut memberi pendedahan kepada pengunjung tentang pelbagai bentuk bantuan kewangan, biasiswa dan pinjaman pendidikan yang boleh dimohon selepas memperoleh tawaran kemasukan ke universiti.

Menurut seorang urusetia iaitu Muhammad Azim Syafiq 22 tahun, penganjuran karnival tersebut bertujuan memastikan maklumat pendidikan tinggi dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.

"Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar mendapatkan maklumat yang tepat mengenai peluang pendidikan tinggi. Melalui interaksi secara bersemuka, mereka dapat mengemukakan pelbagai pertanyaan dan memperoleh penjelasan yang lebih terperinci sebelum membuat pilihan," katanya.

Sepanjang program berlangsung, suasana di dalam Dewan Tuanku Canselor sentiasa meriah dengan kehadiran pengunjung yang mengunjungi pelbagai reruai institusi pengajian tinggi dari seluruh negara. Ramai pelajar dilihat mengambil peluang untuk mendapatkan risalah, bertanya mengenai syarat kemasukan dan mendapatkan nasihat berkaitan bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat serta kelayakan mereka.

Penganjuran di UPSI turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat kampus universiti tersebut yang terkenal sebagai institusi pendidikan guru tertua di negara ini. Selain itu, pengunjung dapat melihat sendiri kemudahan pembelajaran dan suasana kampus yang bakal menjadi tempat mereka menimba ilmu pada masa hadapan.

Dalam era digital yang menawarkan pelbagai sumber maklumat di hujung jari, program seperti Karnival Jom Masuk U masih relevan kerana memberikan pengalaman interaksi secara langsung antara pelajar dan institusi pendidikan. Maklumat yang diperoleh secara bersemuka membolehkan pelajar membuat keputusan yang lebih yakin dan tepat mengenai hala tuju pendidikan mereka.

Secara keseluruhannya, Karnival Jom Masuk U 2026 berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform yang menghubungkan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat. Program ini bukan sahaja membantu pelajar merancang masa depan akademik mereka, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan membina masa depan yang cemerlang.