Pelajar UPSI Jana Pendapatan Melalui Perniagaan Sampingan

Oleh: Muhammad Shafiq Adam Bin Mohd Shukor & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Tanjong Malim- Di sebalik jadual kuliah yang padat dan tugasan akademik yang mencabar, semakin ramai mahasiswa kini memilih untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan tambahan. Fenomena ini menunjukkan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu cemerlang dalam akademik, malah berupaya mengurus perniagaan sendiri bagi meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan.

Kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka mencari alternatif untuk menampung perbelanjaan harian. Namun begitu, keusahawanan pelajar pada hari ini bukan lagi sekadar untuk mendapatkan wang saku tambahan. Sebaliknya, ia turut menjadi platform untuk membina pengalaman, meningkatkan kemahiran komunikasi dan mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurut Adnan Aiman, Pelajar tahun kedua, yang menjalankan perniagaan menjual air minuman seperti “coffee”, “frappe” dan “refreshing drinks” secara fizikal, perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan kini mampu memberikan pendapatan yang konsisten setiap bulan.

"Saya mula berniaga kerana ingin menambah wang perbelanjaan. Lama-kelamaan, saya melihat potensi yang lebih besar apabila ramai pelanggan mula membuat tempahan secara tetap. Selain itu, dorongan minat juga menjadikan salah satu faktor utama juga mengapa saya bercadang untuk membuka kedai kopi ini” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, cabaran utama yang dihadapi adalah untuk mengimbangi masa antara akademik dan perniagaan. Namun, dengan pengurusan masa yang baik, kedua-dua tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Seterusnya, perkembangan teknologi digital turut memudahkan mahasiswa mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook menjadi medium utama bagi memasarkan produk kepada pelanggan tanpa memerlukan kos yang tinggi.

Bagi ramai pelajar, pengalaman berniaga sepanjang tempoh pengajian menjadi satu nilai tambah yang penting. Selain memperoleh pendapatan, mereka turut berpeluang membina keyakinan diri dan pengalaman praktikal yang sukar diperoleh di dalam bilik kuliah.

Fenomena peningkatan usahawan muda dalam kalangan mahasiswa membuktikan bahawa generasi hari ini semakin kreatif dan berani mengambil peluang. Dengan sokongan yang berterusan daripada pihak universiti dan agensi berkaitan, lebih ramai pelajar dijangka akan menceburi bidang keusahawanan sebagai langkah membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.