"Tiada Pilihan Selain Berdiri": Kesesakan Bas Kampus Jejas Keselesaan Pelajar

 


Sebahagian pelajar terpaksa berdiri sepanjang perjalanan akibat kekurangan tempat duduk dalam bas kampus pada waktu puncak. (Foto: Arlyenah Musah) 


Oleh: Arlyenah Musah

TANJONG MALIM – Hampir sepanjang masa kelihatan puluhan mahasiswa memenuhi hentian untuk menghadiri kuliah. Namun, kekurangan tempat duduk menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke fakulti. Keadaan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi bagi pelajar yang tidak memiliki kenderaan sendiri dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bas kitaran yang disediakan.

Kesesakan yang berlaku terutama pada waktu puncak menimbulkan kebimbangan terhadap keselesaan pengguna. Setiap hari pelajar terpaksa bertolak-tolak masuk ke dalam bas kerana bimbang tidak mempunyai tempat duduk. Tambahan pula apabila bas yang mereka naiki adalah bas ke Pintu Timur yang akan memakan masa lebih 10 minit.


Menurut seorang pelajar tahun ketiga, Nicole Pauline Anak Kim Hoi, keadaan bas yang penuh menyebabkan dia terpaksa berdiri dari kolej sehingga tiba di kampus lama.

“Kadang-kadang saya terpaksa berdiri dari kolej sehingga ke fakulti kerana semua tempat duduk telah penuh. Tambah memenatkan apabila kelas saya di kampus lama dan saya terpaksa berdiri lebih daripada 10 minit untuk tiba di Pintu Timur. Saya melihat ada juga pelajar yang terpaksa oder prebet disebabkan risau lewat masuk kelas” katanya.

Seorang lagi pelajar, Walter Frangkie, berkata kesesakan bas boleh menjejaskan keselesaan dan menyebabkan pelajar lewat menghadiri kelas.

“Apabila terlalu ramai penumpang dalam satu bas, keadaan menjadi tidak selesa. Kami perasan perkara ini berlaku disebabkan hanya 1 buah bas yang disediakan dan tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Kami berharap jumlah bas dapat ditambah terutama pada waktu puncak,” ujarnya.

Tinjauan di beberapa hentian bas sekitar kampus mendapati waktu antara pukul 7.00 hingga 9.00 pagi merupakan tempoh paling sibuk. Kebanyakan pelajar menggunakan perkhidmatan bas untuk bergerak dari kolej kediaman ke fakulti.

Sementara itu, pihak pengurusan pengangkutan universiti memaklumkan bahawa maklum balas daripada pelajar sentiasa diambil kira bagi menambah baik perkhidmatan yang disediakan. Pihak Majlis Perwakilan Pelajar menyediakan borang soal selidik tentang keadaan bas kitaran dan meminta semua pelajar mengisi butiran tersebut.

Bagi ramai mahasiswa, bas kampus merupakan kemudahan penting dalam kehidupan harian. Oleh itu, mereka berharap isu kesesakan dapat ditangani melalui penambahan kekerapan perjalanan atau jumlah bas supaya perjalanan ke kelas menjadi lebih selesa dan selamat.