Pope Leo Redakan Ketegangan dengan Trump: “Bukan Kepentingan Saya Untuk Berdebat”

     

Pope Leo XIV menyapa jurnalis semasa penerbangan ke Angola

Oleh: Avioletha Anne dan Dr. Ahmad Sauffiyyan Abu Hasan

DI ATAS PESAWAT PAPAL, 20 April – Pope Leo cuba meredakan ketegangan berhubung perselisihan fahamnya dengan Presiden A.S., Donald Trump pada Sabtu, dengan menyatakan bahawa laporan mengenai komen yang dibuat semasa jelajah Afrikanya adalah “tidak tepat dalam semua aspek.”

Bercakap kepada pemberita dalam bahasa Inggeris semasa penerbangan ke Angola bagi siri ketiga jelajah Afrika selama 10 hari itu, paus pertama dari A.S. itu menegaskan bahawa kenyataannya di Cameroon dua hari lalu tidak ditujukan kepada Trump. Sebelum ini, beliau dilaporkan mengecam tindakan segelintir pihak yang disifatkan sebagai “zalim” yang memusnahkan dunia.

Menurut Pope Leo, ucapan tersebut telah disediakan dua minggu lebih awal, iaitu sebelum Presiden Trump mengeluarkan sebarang ulasan mengenai dirinya atau mesej keamanan yang dipromosikannya.

Naib Presiden JD Vance, yang sebelum ini mengkritik kenyataan paus tersebut minggu lalu, menyambut baik penjelasan terbaharu itu.

“Saya berterima kasih kepada Pope Leo atas penjelasan ini,” tulis Vance di platform media sosial X. “Walaupun naratif media sering mencetuskan konflik dan sememangnya perselisihan sebenar pernah dan akan berlaku hakikatnya sering kali lebih rumit daripada apa yang digambarkan.”

Pada Ahad lalu, ketika Pope Leo bersedia memulakan lawatannya, Trump melalui hantaran di Truth Social menyifatkan paus tersebut sebagai “lemah terhadap jenayah dan membawa kesan buruk kepada dasar luar negeri.”

Trump turut mencetuskan kontroversi dengan memuat naik imej janaan AI yang memaparkan dirinya sebagai figura menyerupai Yesus. Tindakan itu mengundang kritikan meluas, termasuk daripada penyokong konservatif agama. Walau bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadamkan pada pagi Isnin.

Reaksi Trump dipercayai berpunca daripada kritikan Pope Leo yang semakin lantang terhadap penglibatan A.S. dalam konflik peperangan antara Israel dan Iran baru-baru ini.

Pope Leo memberitahu Reuters pada Isnin bahawa beliau akan terus bersuara mengenai isu peperangan. Pada Khamis, beliau sekali lagi mengecam pemimpin yang membelanjakan berbilion ringgit untuk peperangan di saat dunia “dimusnahkan oleh segelintir pemerintah zalim,” namun beliau tidak menyebut nama Trump secara khusus.

“Apa yang berlaku seolah-olah memperlihatkan saya cuba berdebat dengan Presiden, sedangkan itu bukan kepentingan saya sama sekali,” tegas paus tersebut pada Sabtu.

Pope Leo, yang berasal dari Chicago, sebelum ini mengekalkan profil yang rendah sepanjang 10 bulan pertama tempoh kepimpinannya. Namun, beliau kini memulakan pendekatan lebih tegas sepanjang siri jelajah di Afrika dengan mengecam isu peperangan, ketidaksamaan, dan kegagalan pemimpin global.

Lawatan ke Afrika kali ini merupakan antara tugasan paling mencabar bagi beliau, melibatkan perjalanan sejauh 18,000 km merentasi 11 bandar di empat buah negara melalui 18 siri penerbangan.

Sumber: Reuters

https://www.reuters.com/world/africa/pope-leo-downplays-feud-with-trump-says-not-my-interest-debate-him-2026-04-18/