Naib Canselor UPSI, Prof. Dato' Dr. Md Amin Md Taff (tengah) bersama lima rakan strategi industri, pihak pengurusan tertinggi UPSI dan FBK, pensyarah JKOM, dan pelajar dari JKOM.
OLEH NISHA PRAKASH & DR AHMAD SAUFFIYAN
TANJONG MALIM, 21 MEI – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan posisinya dalam landskap pendidikan tinggi negara melalui Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama lima rakan strategi industri terkemuka di Malaysia iaitu SKOP Production, Aaron Aziz Production, NOIR Health & Beauty, OH MY MEDIA (OMM), dan AQ Energy. Majlis ini berlangsung di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI dari jam 11:00 pagi hingga 1:00 petang. Program berimpak tinggi ini dianjurkan secara khusus oleh Jabatan Komunikasi dan Media di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).
Naib Canselor UPSI, Prof. Dato' Dr. Md Amin Md Taff, berkata ‘Kita menyaksikan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan hubungan sinergi antara dunia akademik dan industri kreatif, media, komunikasi, teknologi serta sektor korporat melalui kerjasama strategik ini.’
‘Kolaborasi ini amat signifikan khususnya dalam menyokong pelaksanaan program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pembangunan Kandungan) dengan Kepujian yang mengadaptasi pendekatan 2u2i, iaitu gabungan pembelajaran akademik bersama pengalaman industri sebenar.’ kata beliau menerusi kenyataan.
Objektif utama pelaksanaan MoU ini adalah untuk merapatkan jurang antara teori akademik di universiti dengan realiti praktikal industri, terutamanya dalam bidang media digital, penerbitan filem dan drama, pemasaran kandungan, teknologi, serta pembangunan organisasi dan bakat mahasiswa. Melalui kerjasama strategik ini, pelajar UPSI program Komunikasi Sosial dan Pembangunan Kandungan bakal mendapat akses langsung kepada peluang latihan industri yang komprehensif, pendedahan kerjaya sebenar, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum berasaskan industri, serta pelbagai projek penyelidikan, konsultansi, dan penerbitan kandungan kreatif bersama. Langkah ini dijangka memberi impak yang sangat signifikan terhadap pembangunan akademik dan kerjaya pelajar.
Inisiatif ini dirangka bagi menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan yang holistik, kompeten, berdaya saing, serta berciri keusahawanan bagi memenuhi kehendak pasaran masa depan negara. Selain membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan industri sebenar, hubungan kolaboratif berterusan ini juga mampu memperkukuh jaringan industri, memperkasa akademik, serta melonjakkan keterlihatan dan penjenamaan UPSI di peringkat kebangsaan.