Oleh: Anis Syazwani & Dr. Ahmad
Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM, 13 April 2026 –
Penyebaran berita palsu semakin berleluasa melalui media sosial seperti TikTok,
Facebook dan WhatsApp sehingga memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Maklumat yang dikongsi tanpa semakan boleh mencetuskan salah faham, panik serta
menimbulkan kebencian dalam kalangan pengguna media sosial.
Perkembangan teknologi dan
penggunaan internet yang semakin meluas menyebabkan berita dapat disebarkan
dengan pantas hanya melalui satu klik. Namun begitu, tidak semua maklumat yang
diterima adalah benar dan sahih. Sikap segelintir pengguna yang gemar berkongsi
sesuatu berita tanpa menyemak sumber menjadi antara punca utama berita palsu
terus tersebar.
Tinjauan VoxPop yang dijalankan
mendapati kebanyakan responden menyedari kesan negatif berita palsu terhadap
masyarakat. Walau bagaimanapun, masih terdapat individu yang mudah mempercayai
sesuatu maklumat tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Responden pertama, Umairah, 22
tahun, berkata berita palsu mudah tersebar kerana masyarakat terlalu bergantung
kepada media sosial sebagai sumber maklumat harian. Menurutnya, ramai pengguna
terus mempercayai sesuatu berita hanya berdasarkan tajuk atau video yang tular.
“Disebabkan media sosial, semua
perkara di hujung jari. Ramai forward berita tanpa selidik dengan lebih lanjut.
Kadang-kadang mereka terus percaya sebab berita itu nampak meyakinkan,”
katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa
masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat
yang belum pasti kesahihannya. Katanya lagi, semakan terhadap sumber rasmi amat
penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu.
Sementara itu, responden kedua,
Faradilla, 24 tahun, pula berpendapat terdapat pihak tertentu yang sengaja
menyebarkan berita palsu semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan populariti
di media sosial.
“Ada yang tidak bertanggungjawab,
mahu cepat viral tanpa peduli berita itu betul atau salah. Perkara ini boleh
menyebabkan orang ramai panik dan salah faham,” jelasnya.
Menurut Faradilla, pengguna media
sosial perlu lebih bijak dalam menilai sesuatu maklumat sebelum berkongsi
dengan orang lain. Beliau juga menyatakan bahawa dirinya akan membuat semakan
terlebih dahulu melalui sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkan
sesuatu berita.
Selain itu, tinjauan turut
mendapati berita palsu bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh
menjejaskan keharmonian masyarakat. Maklumat tidak benar berkaitan isu
keselamatan, kesihatan atau perkauman misalnya boleh mencetuskan kebimbangan dan
konflik dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, semua pihak perlu
memainkan peranan dalam membendung penyebaran berita palsu dengan lebih
berhati-hati dan bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat. Sikap menyemak
fakta sebelum berkongsi sesuatu berita perlu diamalkan agar masyarakat tidak
mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak sahih.